

Perangkaan Penting, Malaysia, 2023
Kadar Kesuburan pada Paras Terendah iaitu 1.6 Anak pada 2022,
Cabaran Terhadap Penyusutan Penduduk dan Penuaan di Malaysia
-
Kadar kesuburan jumlah (TFR) pada 2022 merekodkan penurunan dengan 1.6 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun berbanding 1.7 anak pada 2021. Kadar kesuburan ini merupakan yang terendah sejak lima dekad yang lalu dengan 4.9 anak bagi setiap perempuan pada tahun 1970. Sejak 1970 hingga 2012, TFR negara telah direkodkan di atas paras penggantian iaitu 2.1 anak. Walau bagaimanapun, TFR mula menurun di bawah paras penggantian bermula tahun 2013 dan hingga kini.
-
Bagi tempoh 2011 hingga 2022, TFR bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia menunjukkan trend menurun. TFR tertinggi dicatatkan oleh Melayu iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun pada 2022. Manakala, Cina merekodkan TFR terendah iaitu 0.8 anak.
-
Kelahiran hidup direkodkan pada 2022 adalah 423,124 kelahiran, menurun 3.8 peratus (16,620 kelahiran) berbanding 439,744 kelahiran pada 2021. Bayi lelaki yang dilahirkan melebihi bayi perempuan iaitu masing-masing 218,345 dan 204,779. Penurunan bilangan kelahiran ini telah mengakibatkan kadar kelahiran kasar (CBR) menurun daripada 13.5 kelahiran pada 2021 kepada 12.9 kelahiran bagi setiap seribu penduduk pada 2022.
-
Kematian yang direkodkan pada 2022 adalah 206,525 kematian, menurun 8.0 peratus (18,044 kematian) berbanding 224,569 pada 2021 selepas pandemik COVID-19. Kadar kematian kasar (CDR) turut merekodkan penurunan daripada 6.9 (2021) kepada 6.3 (2022) kematian bagi setiap seribu penduduk. Bilangan kematian lelaki adalah 117,790 atau 57.0 peratus daripada jumlah kematian. Manakala, bilangan kematian perempuan adalah 88,735 (43.0%).
-
Semua kumpulan umur merekodkan penurunan bilangan kematian kecuali umur 0-14 tahun iaitu meningkat daripada 4,115 kematian kepada 4,754 kematian pada 2022. Kematian umur 41-59 tahun merekodkan penurunan tertinggi iaitu 20.4 peratus daripada 52,282 (2021) kematian kepada 41,640 kematian pada 2022. Selain itu, kematian umur 15-40 tahun dan 60 tahun dan lebih masing-masing turut merekodkan penurunan iaitu daripada 17,953 kematian kepada 14,830 kematian dan 150,219 kematian kepada 145,301 kematian.
